Nik Aziz hampir setuju

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertemu media selepas perbincangan tertutup bersama Timbalannya Dr.Harun Din (kiri) Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa di kediamannya, minggu lepas. - Foto Syamsi Suhaimi

Pas sedia bincang usul bentuk kerajaan campuran di Perak

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam membayangkan kesediaan parti itu berbincang dengan Umno berhubung cadangan membentuk kerajaan campuran di Perak.

Beliau bagaimanapun berkata, proses itu memerlukan masa kerana ia mesti dibawa ke muktamar tahunan Pas bulan depan, manakala Umno pula perlu pada perhimpunan agungnya Disember ini.


Sambil mengakui bukan mudah membentuk kerjasama dua parti yang bermusuh sekian lama, Nik Abdul Aziz berkata, sebarang ketetapan berhubung muqabalah dengan Umno serta pendirian Pas mengenai cadangan kerajaan campuran di Perak akan diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di ibu kota hari ini.

"Bersatu (dengan Umno) itu masalah kedua, biar muqabalah dulu. Lepas tu pandailah kita buat keputusan. Kita tak boleh tergesa-gesa buat keputusan kerana kita dah ada pengalaman.

"Politik mesti buat berhati-hati... takkan 50 tahun punya kes nak selesai dalam sehari. Kita tengok dunia sekarang ini pun tak selesai masalah, mesti ada orang tengah macam Israel nak damai dengan Syria dan Turki.

"Saya akan pergi (mesyuarat di Kuala Lumpur)... tapi kenyataan saya sama seperti sebelum ini, muqabalah boleh, politik jangan lagi... tolak ke tak tolak (penggabungan dengan Umno), kita bincang dulu," katanya selepas melancarkan tabung penambahbaikan Masjid Al-Baroah dan ceramah Israk Mikraj di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali Isnin lalu mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di negeri itu dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Nik Abdul Aziz berkata, muqabalah dengan Umno seperti dipersetujui sebelum ini perlu dimulakan dengan perbincangan mengenai kepentingan agama Islam dan tidak membabitkan sebarang perbincangan berkaitan politik.

Beliau juga berkata, sebarang kerjasama antara Umno dan Pas mesti menjadikan Islam sebagai asas pegangan kedua-dua parti itu kerana Islam bukan untuk menjaga kepentingan orang Melayu, sebaliknya menyatukan semua kaum tanpa sebarang prasangka.

"Mudah-mudahan, pemikiran ini (mengadakan muqabalah) berjalan lagi dalam bentuk organisasi yang tersusun. Cuma saya bimbang pada Perhimpunan Agung Umno, ahlinya tolak rancangan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).

"Kita nak buat macam mana. Kalau ada yang tak mahu Islam, boleh jumpa saya dan beritahu apa yang tak kena dengan Islam," katanya.

dari
HR GLOBAL BUSINESS ENTERPRENEUR
www.freewebs.com/fendicenter

0 comments: